Selamat Datang



KERTAS KERJA CADANGAN PENUBUHAN

UNIT PENGINAPAN PELAJAR LUAR KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Pendahuluan :

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) memandang serius terhadap kebajikan mahasiswa terutama bagi mereka yang tinggal di luar kampus. Hal ini kerana mahasiswa luar kampus merupakan sebahagian daripada warga kampus yang terdedah dengan pelbagai masalah-masalah seperti keselamatan, sosial dan kebajikan. Justeru itu, cadangan penubuhan Unit Penginapan Pelajar Luar Kampus adalah tepat pada masanya dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak pentabdiran universiti bagi merealisasikan hasrat murni ini.


Justifikasi penubuhan :


  • Lebih daripada 70% respondan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pihak HEPA baru-baru ini mengharapkan penubuhan unit ini.
  • Terdapat universiti tempatan seperti UiTM dan UPSI telah berjaya menguruskan pelajar luar kampus di kampus masing-masing kerana tertubuhnya unit ini. Sebagai contoh, UiTM telah berjaya mendapatkan maklumat pelajar luar kampus mereka sebanyak 23 ribu setakat ini sejak penubuhannya beberapa tahun lepas dan ini menunjukkan hasil kerja yang dinamik.
  • Masih belum wujud PTj yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan hal-hal berkaitan pelajar luar kampus.

Objektif :

Menubuhkan sebuah pusat pentadbiran yang menyelia dan menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajar luar kampus secara proaktif, mesra dan konsisten.

Fungsi :

Menyediakan khidmat secara menyeluruh kepada pelajar luar kampus, menjaga kebajikan mereka serta merancang aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar luar kampus.

Perkhidmatan :

  • Menyediakan jaringan portal direktori sewa sama ada premis kediaman atau bilik untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat rumah sewa.
  • Menyediakan garispanduan penyewaan dan panduan kesedaran awam untuk pelajar luar kampus. Ini adalah termasuklah memberi khidmat nasihat dalam penyewaan rumah seperti lokasi rumah, kadar sewa, kontrak/perjanjian sewaan serta cara-cara memilih rumah sewa.
  • Menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat dengan melibatkan pelajar luar kampus.
  • Menyelaras permohonan pelajar luar kampus mendapatkan tempat tinggal di kolej kediaman jika ada kekososngan bagi mereka yang LAYAK sahaja.
  • Membantu pelajar sekiranya berlaku kes-kes kecemasan seperti kemalangan, kecurian, jenayah (sivil/syariah), masalah kesihatan dan pemberian insentif kepada pelajar yang layak.
  • Pantauan berkala pihak pentadbiran ke rumah-rumah sewa pelajar luar kampus demi memastikan kesejahteraan pelajar.
  • Mengatur perbincangan selaku wakil pelajar bersama-sama jawatankuasa penduduk tempatan atau pihak berkuasa dalam hal-hal berkaitan.
  • Mengadakan kempen untuk mempromosikan keahlian PUSPITA (persatuan pelajar luar kampus UM) di samping mendapatkan maklumat terkini atau sebarang permasalahan di kalangan pelajar luar kampus.

Carta Organisasi :

Sebagai permulaan penubuhan unit ini, carta organisasi perlulah kukuh dan mampu menjalankan tugas ini dengan sebaik mungkin. Cadangan organisasi dalam unit ini adalah sekurang-kurangnya 1 pengetua, 2 penyelia (jika perlu) dan 3 kakitangan sokongan. Ketiga-tiga kakitangan sokongan yang akan tertumpu di pejabat unit tersebut perlulah dibahagikan skop kerja yang lebih jelas dan sistematik dimana ianya perlulah merangkumi :

  • Pengumpul data-data maklumat terkini pelajar luar kampus. Ini juga termasuklah membuat hebahan ke dalam portal pelajar termasuklah iklan-iklan penyewaan dan informasi baru.
  • Menguruskan urusan surat-menyurat dan laporan semasa meliputi laporan-laporan kecemasan dan aktiviti pelajar.
  • Menyusun jadual perancangan aktiviti-aktivti yang melibatkan pelajar seperti program pembangunan sahsiah diri, sesi dialog, seminar dan mesyuarat-mesyuarat mengikut keperluan.
  • Menerima sebarang aduan daripada pelajar dengan menyediakan ruang kaunter khidmat pelanggan tanpa mengira latarbelakang pelajar.

Lokasi pejabat :

Adalah semestinya lokasi yang strategik menjadikan fungsi unit ini lebih berkesan dan memberi impak kepada pelajar luar kampus. Dalam hal ini, lokasi yang dipilih perlulah mudah untuk dikunjungi bagi sebarang urusan, boleh digunakan bagi tujuan perbincangan atau mesyuarat dan boleh menjadi tumpuan oleh semua pihak.

Saya mencadangkan agar lokasinya berada di dalam kampus kerana ianya pusat pengumpulan pelajar terutamanya pada lima hari kuliah. Kawasan kampus yang sesuai bagi lokasi unit ini adalah seperti di Kompleks Perdanasiswa atau mana-mana ruang sementara di dalam kampus termasuklah rumah kuarters staf yang terbengkalai. Rumah PUSPITA yang sedia ada kini dilihat bukan menjadi lokasi yang strategik bagi unit ini kerana lokasinya yang tersorok dan kekurangan kemudahan pengangkutan yang disediakan untuk ke sana.

Jika ianya ditubuhkan di kawasan penempatan pelajar yang dominan, saya merasakan ianya juga memberi kesan sampingan kepada pelajar di kawasan yang minoriti lebih-lebih lagi apabila ianya jauh dari kawasan tersebut.

Kesimpulan :

Unit Penginapan Pelajar Luar Kampus UM adalah sebuah PTj baru yang mampu untuk menguruskan pelajar luar kampus dengan lebih efektif. Unit ini bukan sahaja memudahkan semua pihak tetapi juga sebagai platform dalam membantu mendekatkan pelajar dengan pihak pentadbiran khususnya bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA).

Disediakan oleh,

KHAIRUL ANUAR ABU KASIM

YDP MPMUM 2009/2010

Comment

THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10