Selamat Datang



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah, pertama sekali marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang terulung kepada kita semua iaitu nikmat kehidupan di muka bumi ini dan kehidupan kini menuntut persediaan yang lebih rapi apabila semakin hari kita bergelumang dengan era perubahan zaman yang lebih kompetitif, progresif serta dinamik.


Saya ingin mengambil kesempatan pada hari bersejarah ini untuk mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011” dan ini merupakan petanda kepada kita bahawa peredaran masa begitu pantas meninggalkan kita apabila memori 2010 pergi buat selama-lamanya. Dengan seribu harapan bahawa pada tahun lalu, segala azam serta perancangan yang kita rencanakan telah pun berjaya direalisasikan dengan jayanya. Tetapi tidak kurang juga kepada mereka yang masih belum mencapai sasarannya dan semoga kehadiran tahun baru ini menjadikan kita lebih gigih untuk sedaya upaya mencipta sejarah hidup yang lebih bermakna.


Dengan ketibaan tahun baru ini, maka menjadikan tinggal hanya 9 tahun sahaja lagi negara akan mencapai status negara maju dan pusat perindustrian antarabangsa sejajar dengan wawasan 2020. Sejak ianya dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan merangka pelbagai dasar serta perancangan jangka panjang bagi melihat keberhasilan wawasan ini seterusnya menjadikan negara benar-benar maju mengikut acuannya sendiri. Walaupun begitu, hasrat negara ini hanya menjadi ‘omong-omong kosong’ sekiranya rakyat khususnya mahasiswa tidak lagi peka dan masih selesa berada di takuk yang lama. Kini yang timbul adalah persoalan yang perlu dijawab oleh individu mahasiswa itu sendiri, "Apakah saya benar-benar telah menerima cabaran itu dan bersedia untuk memberi kepakaran saya pada detik tahun 2020? Jika sudah, apa yang saya telah lakukan dan jika belum, sampai bilakah saya mahu mulakan?"


Mahasiswa sering melaungkan bahawa mereka adalah aset bernilai kepada negara, penentu masa depan negara dan harapan kepada masyarakat. Namun begitu, pernahkah kita memikirkan sekarang bagaimanakah sumbangan yang mampu kita berikan kepada keluarga, masyarakat sekeliling kita apatah lagi dalam konteks sesebuah negara. Pokoknya pada hari ini, jolokan seperti ‘jaguh kampung’ atau ‘anak bangsa terbilang’ bukan menjadi ukuran kejayaan mahasiswa lagi apabila peratusan yang menunjukkan bahawa mereka bersedia berkorban atas semangat sukarela adalah amat kecil dan membimbangkan. Setiap yang kita ingin lakukan perlu tepat dengan memberi penumpuan kepada sasarannya, bukanlah melihat kepada ganjaran yang bakal kita perolehi tetapi apa yang berlaku kini rata-ratanya adalah sebaliknya.


Saya ingin menggesa agar mahasiswa perlulah bersatu-padu tanpa sebarang sikap prejudis dalam membina sebuah entiti golongan yang celik pandai lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan ‘isu kemahasiswaan’ dengan melihat sesuatu atas kerasionalan minda. Tabiat mewujudkan jurang umpama sempadan tembok batu di kalangan mahasiswa amat perlu dibuang serta dikikis dari dasar hati kerana ianya amat merugikan kita semua lebih-lebih lagi apabila masyarakat di luar sana percaya dengan kebolehan kita dalam mengawal emosi, mental dan pemikiran ideologi masing-masing. Dalam pada itu, saya berpendapat bahawa corak perjuangan kita bukan lagi sepatutnya disamakan seperti zaman terdahulu dan kita perlu mencakna sebuah corak yang lebih signifikan agar suara-suara mahasiswa sering diberi perhatian serta dipandang tinggi oleh pihak berkaitan.


Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita mendoakan kejayaan kita pada tahun baru ini. Azam yang tinggi tanpa sebarang tindakan juga menjadikan matlamat kita sia-sia. Kita perlu mengkaji dan meneliti setiap perancangan secara holistik serta komprehensif agar tidak terdapat kesilapan yang boleh menghancurkan kita. Tuntasnya ‘manusia yang berjaya tidak pernah putus asa menghadapi kegagalan dan terus mencuba dengan pelbagai cara demi memastikan matlamatnya dapat dicapai’.


Memanifestasi Kecemerlangan, Memartabatkan Kegemilangan.


Yang benar,

YDP MPMUM 2009/2010

Comment

THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10