Selamat Datang



KAMI MPMUM 09/10 MENGUCAPKAN
TAHNIAH BUAT CALON-CALON MPPUM 10/11 YANG BERJAYA DALAM PRK 2011

Buat sahabat-sahabat pimpinan yang bertanding buat kali ke-2 dan telah berjaya, jadikan pengalaman pimpinan KITA sebagai satu pengajaran untuk kita semua BERSATU dalam melaksanakan amanah dan mandat yang telah diberikan.

kami diperingkat MPMUM 09/10 berharap agar usaha dan perancangan yang telah kami usul serta kemukakan dapat diteruskan agendanya dalam pimpinan MPPUM sesi 10/11 kali ini.

we unite 4 UM
"MEMANIFESTASI KECEMERLANGAN, MEMARTABATKAN KEGEMILANGAN"


PERUBAHAN TEMPAT : BALAI ILMU APIUM





MAKLUMAT LANJUT : http://umisisweb.um.edu.my/index.php

Permohonan adalah dipelawa kepada Pelajar Tahun 2 (Dua) yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai ‘Student Ambassador’ seperti di bawah:

1. Syarat-syarat:
(a) Hanya terbuka kepada pelajar Tahun 2 sahaja
(b) Boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
(c) Mempunyai pengetahuan tentang Universiti Malaya
(d) Berperwatakan menarik, kemas dan tidak merokok
(e) Mampu memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas
(f) Mampu melatih pelajar junior

2. Bilangan yang diperlukan : 30 orang (lelaki dan perempuan)

3. Faedah:
(a) Mengikuti latihan berkaitan pembangunan diri dan personaliti
(b) Lawatan sambil belajar ke institusi terpilih (dalam dan luar negara)
(c) Kemudahan bagi melaksanakan tugas
(d) Sijil Penghargaan

4. Spesififikasi Tugas :

Menjadi pegawai pengiring dan pemudahcara kepada pelawat dari luar negara yang datang ke UM.

5. Cara memohon :
Permohonan hendaklah menggunakan borang yang boleh dilampirkan.
Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar kepada:

Ketua
Student Empowerment & Resource Unit (SERU)
Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Aras Bawah, Blok D
Kompleks Perdana Siswa
Universiti Malaya

Tarikh tutup permohonan adalah pada 25 Januari 2010.

Catatan
Hanya pelajar yang disenarai pendek sahaja akan dihubungi untuk sesi temuduga.

borang : http://umisisweb.um.edu.my/doc/BORANG.pdf
PENCARIAN SUKARELAWAN KERJAYA, SEKSYEN KAUNSELING, KERJAYA & OKU
UNIVERSITI MALAYA


Semua pelajar Univerisiti Malaya dipelawa untuk menjadi sukarelawan Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU bagi membantu kelancaran program kerjaya yang akan dijalankan.

Kriteria calon

1. Terbuka kepada pelajar Universiti Malaya
2. Berpewatakan menarik
3. Dapat membantu program pada hari Sabtu & Ahad (Jika diperlukan)


Kelebihan yang akan diperolehi

1. Sijil penghargaan sukarelawan
2. Dapat membina kemahiran insaniah dalam diri
3. Menimba pengalaman dalam pengurusan organisasi/projek



Kepada pelajar Universiti Malaya yang berminat, boleh mendaftarkan nama di Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU atau email butir-butir diri kepada maznah_azis@um.edu.my

Sekian, terima kasih.
Maznah Azis
Pegawai Psikologi
Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU
Universiti Malaya
Tel: 03-79673342

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah, pertama sekali marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang terulung kepada kita semua iaitu nikmat kehidupan di muka bumi ini dan kehidupan kini menuntut persediaan yang lebih rapi apabila semakin hari kita bergelumang dengan era perubahan zaman yang lebih kompetitif, progresif serta dinamik.


Saya ingin mengambil kesempatan pada hari bersejarah ini untuk mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011” dan ini merupakan petanda kepada kita bahawa peredaran masa begitu pantas meninggalkan kita apabila memori 2010 pergi buat selama-lamanya. Dengan seribu harapan bahawa pada tahun lalu, segala azam serta perancangan yang kita rencanakan telah pun berjaya direalisasikan dengan jayanya. Tetapi tidak kurang juga kepada mereka yang masih belum mencapai sasarannya dan semoga kehadiran tahun baru ini menjadikan kita lebih gigih untuk sedaya upaya mencipta sejarah hidup yang lebih bermakna.


Dengan ketibaan tahun baru ini, maka menjadikan tinggal hanya 9 tahun sahaja lagi negara akan mencapai status negara maju dan pusat perindustrian antarabangsa sejajar dengan wawasan 2020. Sejak ianya dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan merangka pelbagai dasar serta perancangan jangka panjang bagi melihat keberhasilan wawasan ini seterusnya menjadikan negara benar-benar maju mengikut acuannya sendiri. Walaupun begitu, hasrat negara ini hanya menjadi ‘omong-omong kosong’ sekiranya rakyat khususnya mahasiswa tidak lagi peka dan masih selesa berada di takuk yang lama. Kini yang timbul adalah persoalan yang perlu dijawab oleh individu mahasiswa itu sendiri, "Apakah saya benar-benar telah menerima cabaran itu dan bersedia untuk memberi kepakaran saya pada detik tahun 2020? Jika sudah, apa yang saya telah lakukan dan jika belum, sampai bilakah saya mahu mulakan?"


Mahasiswa sering melaungkan bahawa mereka adalah aset bernilai kepada negara, penentu masa depan negara dan harapan kepada masyarakat. Namun begitu, pernahkah kita memikirkan sekarang bagaimanakah sumbangan yang mampu kita berikan kepada keluarga, masyarakat sekeliling kita apatah lagi dalam konteks sesebuah negara. Pokoknya pada hari ini, jolokan seperti ‘jaguh kampung’ atau ‘anak bangsa terbilang’ bukan menjadi ukuran kejayaan mahasiswa lagi apabila peratusan yang menunjukkan bahawa mereka bersedia berkorban atas semangat sukarela adalah amat kecil dan membimbangkan. Setiap yang kita ingin lakukan perlu tepat dengan memberi penumpuan kepada sasarannya, bukanlah melihat kepada ganjaran yang bakal kita perolehi tetapi apa yang berlaku kini rata-ratanya adalah sebaliknya.


Saya ingin menggesa agar mahasiswa perlulah bersatu-padu tanpa sebarang sikap prejudis dalam membina sebuah entiti golongan yang celik pandai lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan ‘isu kemahasiswaan’ dengan melihat sesuatu atas kerasionalan minda. Tabiat mewujudkan jurang umpama sempadan tembok batu di kalangan mahasiswa amat perlu dibuang serta dikikis dari dasar hati kerana ianya amat merugikan kita semua lebih-lebih lagi apabila masyarakat di luar sana percaya dengan kebolehan kita dalam mengawal emosi, mental dan pemikiran ideologi masing-masing. Dalam pada itu, saya berpendapat bahawa corak perjuangan kita bukan lagi sepatutnya disamakan seperti zaman terdahulu dan kita perlu mencakna sebuah corak yang lebih signifikan agar suara-suara mahasiswa sering diberi perhatian serta dipandang tinggi oleh pihak berkaitan.


Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita mendoakan kejayaan kita pada tahun baru ini. Azam yang tinggi tanpa sebarang tindakan juga menjadikan matlamat kita sia-sia. Kita perlu mengkaji dan meneliti setiap perancangan secara holistik serta komprehensif agar tidak terdapat kesilapan yang boleh menghancurkan kita. Tuntasnya ‘manusia yang berjaya tidak pernah putus asa menghadapi kegagalan dan terus mencuba dengan pelbagai cara demi memastikan matlamatnya dapat dicapai’.


Memanifestasi Kecemerlangan, Memartabatkan Kegemilangan.


Yang benar,

YDP MPMUM 2009/2010

Tahniah kepada peserta-peserta UM.

Baru-baru ini telah berlangsung Festival Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FESTKUM 2010) pada 15 hingga 19 Disember 2010. Festival telah berlangsung di zon utara iaitu menglibatkan beberapa IPTA iaitu USM, UUM, UniMAP dan UiTM Arau.

Berikut adalah beberapa acara yang telah dimenangi oleh peserta daripada Universiti Malaya :

  1. 1) Nyanyian Irama Malaysia (P) telah mendapat johan. Peserta : Rasyidah Abdul Rahim.
  2. Tarian Klasik India telah mendapat johan. Peserta : Mohd. Nordin Abdolatif, Sayid Rizalee Sayid Abdul Kahar dan Deelani A/P Tharmalingam
  3. Tarian Tradisional Cina telah mendapat naib johan. Peserta : Leng Poh Gee, Chew Seck Nee, Lim Hooi Meng, Teo Xiao Xuan, Lim Shin Hui dan Chew Kai Min.
  4. Band Akuastik telah mendapat tempat ketiga dan susunan muzik terbaik. Peserta : Mohd. Zabidi Abdullah, Mohammad Yusri Sawal @ Shawal, Irni Norfarhana Md. Nor, Muhammad Afiq Abdul Ghani, Suhailla Affizah Ng, Noor Sazila Saifillah, Shahrizal Aswan Shahbuddin, Mohd. Razman Pati Khan, Azman Anuar, Rahimi dan Mohd. Ikhwan.

Tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah terlibat tidak kira sebagai peserta atau jurulatih. MPMUM dan seluruh warga kampus amat berbangga dengan kejayaan ini.


Berikut adalah emel saya kepada beliau dan juga respon yang beliau telah berikan :


Emel saya :


Hai prof. kuru, harap prof sihat .


Saya ingin bertanya kepada Prof tentang tindakan terkini hasil daripada pertemuan MPMUM bersama Prof pada bulan 9 yang lalu. Pada sesi pertemuan tersebut, MPMUM telah menyampaikan beberapa kertas kerja cadangan kepada Prof untuk semakan dan tindakan selanjutnya.


Berikut adalah kertas kerja yang telah dibincangkan bersama prof :

1) Cadangan pembinaan tempat perhentian bas berbumbung di kawasan terpilih sekitar kampus.

2) Cadangan pemasangan skrin elektronik gergasi di sekitar kampus.

3) Laluan jalan kaki di antara fakulti undang-undang dengan kolej kediaman pertama.

4) Fakulti kejuruteraan.


Selain itu, kami juga telah mencadangkan kepada Prof. untuk mengadakan satu siri ceramah yang menunjukkan hala tuju pembangunan UM kepada mahasiswa/i dan besarlah harapan kami sekiranya perjumpaan ini dapat dijalankan pada semester hadapan. Hal ini bagi memudahkan mahasiswa mengetahui perancangan pembangunan universiti di samping mengurangkan pelbagai andaian songsang terhadap matlamat universiti ke arah menjadi sebuah universiti terbaik di dunia.


Saya ingin juga bertanya apakah status bangunan Wisma R&D yang berada di luar kampus itu, berdasarkan mesyuarat tersebut bahawa bangunan tersebut akan digunakan pada waktu tersebut tetapi sehingga kini kelihatan bangunan itu muram sahaja serta tidak berfungsi. Pihak mahasiswa inginkan penjelasan lanjut.


Sementara itu, saya ingin bertanya tentang masalah aktiviti pembersihan bukit di belakang masjid APIUM yang kian rancak dijalankan, apakah tujuannya dan adakah ianya bertujuan untuk mengukuh struktur tanah di situ sebelum membina kembali bangunan APIUM yang telah runtuh pada beberapa tahun lepas?


Mohon kepada Prof untuk membalas emel saya ini. Segala kerjasama Prof, saya dahului dengan ucapan terima kasih.


Respon Prof. Dr. Kuru :


Encik Khai,

Merujuk kepada email pihak MPMUM, ini lah respons saya:


1. Seperti dalam perbincangan bersama pada Sept 2010, J. K. Permantauan Pembangunan telah meluluskan cadangan design perhentian bas. Tender untuk pembinaan perhentian bas sedang di uruskan.

2. Saya akan membincang dengan PTM tentang Skrin Gergasi yang dicadangkan.

3. Saya telah meminta pihak JPPHB untuk melaksanakan seberapa boleh untuk keselesaan pelajar dari Kolej Satu dan Kolej Kedua kepada Fak Undang, Balai Ungku Aziz, Fak Kejuruteraan dan Fak Perubatan. Ini akan di laksanakan pada 2011.

4. Seperti dimaklum saya tidak dapat hadir pada Oct 31 semasa Student leaders Retreat di Sepang kerana masalah keluarga. Pejabat saya akan menghubungi pihak MPMUM untuk mendapat satu tarikh pada Jan 2011.

5. Penghuni Fasa 1 dalam Wisma R & D telah mula berpindah dari Nov 2010.

6. Untuk makluman pihak MPMUM, tiada bangunan APIUM yang telah runtuh akibat tanah runtuh. Kerja-kerja pembaikan lereng dan bukit di belakang APIUM sedang di jalankan dari Oct 2011.


T.K

Kuru Ratnavelu


P/S : Ini adalah sebahagian daripada usul-usul yang kami MPMUM telah lakukan untuk kebajikan dan penambahbaikan pada masa depan. Harap maklum.


Semua Pelajar Universiti Malaya,

KEKOSONGAN TUGAS PROGRAM PEMBANGUNAN KEMAHIRAN SISWA (PPKS) DI UNIVERSITI MALAYA

Pelajar Universiti Malaya yang berkelayakan, proaktif dan komited adalah dipelawa untuk mengisi jawatan berikut di bawah Program Pembangunan Kemahiran Siswa (PPKS) di Perpustakaan Universiti Malaya

1. PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA (5 KEKOSONGAN)

PTj: Perpustakaan Universiti Malaya
Bidang Tugas : Penyediaan Bahan Penjilidan
Kriteria Petugas: Terbuka (Mengikut syarat kelayakan petugas)
Jenis Pelantikan: Separuh Masa

Senarai tugas
1. Membuat persediaan penjilidan jurnal

Tempoh Tugasan :
1 Januari 2011 - 28 Februari 2011

2. PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA (1 KEKOSONGAN)

PTj: Perpustakaan Universiti Malaya
Bidang Tugas : Membantu projek pendigitisan
Kriteria Petugas:Mahir Dalam Aplikasi
Jenis Pelantikan: Separuh Masa

Senarai tugas
1. Mendigitis bahan seperti kertas peperiksaan, surat khabar lama & kertas persidangan

Tempoh Tugasan :
Daripada 1 Januari 2011 - 30 Jun 2011

Kepada pelajar yang berminat untuk bertugas sebagai petugas PPKS, sila kemukakan borang permohonan yang lengkap diisi kepada SEKSYEN KAUNSELING,KERJAYA & OKU UNIVERSITI MALAYA sebelum atau pada 31 Disember 2010 (Jumaat). Borang permohonan boleh di muat turun daripada laman portal pelajar www.umsisweb.um.edu.my atau boleh diambil di Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU, Aras 1 Blok D, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya

Kekosongan jawatan adalah terhad. Syarat permohonan dan bayaran honorarium petugas adalah seperti yang dinyatakan dalam maklumat PROGRAM PEMBANGUNAN KEMAHIRAN SISWA (PPKS) di Universiti Malaya yang boleh dimuat turun daripada lamanwww.umsisweb.um.edu.my . Dimaklumkan bahawa permohonan yang lewat tidak akan dilayan.

3. JABATAN BENDAHARI&nb sp;, UNIVERSITI MALAYA (15 KEKOSONGAN)

PTj: Jabatan Bendahari Universiti Malaya
Bidang Tugas : Perkeranian
Kriteria Petugas: Terbuka kepada Pelajar Universiti Malaya (Seperti syarat perlantikan)
Jenis Pelantikan: Separuh Masa

Senarai tugas
1. Mengemaskini rekod fail seluruh Jabatan Bendahari
2. Menyisih dan memasukkan surat menyurat ke dalam fail

Tempoh Tugasan :
Satu Bulan (Januari - Februari 2010)


Kepada pelajar yang berminat untuk bertugas sebagai petugas PPKS, sila kemuk akan borang permohonan yang lengkap diisi kepada SEKSYEN KAUNSELING,KERJAYA & OKU UNIVERSITI MALAYA sebelum atau pada 7 Januari 2011 (Jumaat). Borang permohonan boleh di muat turun daripada laman portal pelaja r www.umsisweb.um.edu.my a tau boleh diambil di Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU, Aras 1 Blok D, Kompl eks Perdanasiswa, Universiti Malaya.

Kekosongan jawatan adalah terhad. Syarat permohonan dan bayaran honorarium petugas adalah seperti yang dinyatakan dalam maklumat PROGRAM PEMBANGUNAN KEMAHIRAN SISWA (PPKS) di Universiti Malaya. Dimaklumkan bahawa permoho nan yang lewat tidak akan dilayan.

Maklumat Lanjut Sila Hubungi:

SEKSYEN KAUNSELING, KERJAYA & OKU
BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI
UNIVERSITI MALAYA
Tel: 03-79673322/3342
Faks: 03-79673512

u/p: Puan Maznah Azis

MEMORANDUM TUNTUTAN

PENGURANGAN HARGA YURAN KOLEJ-KOLEJ

KEDIAMAN DI UNIVERSITI MALAYA

PENDAHULUAN

Isu harga yuran Kolej Kediaman di Universiti Malaya merupakan satu permasalahan tradisi yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. Isu ini dipandang serius kerana memberi impak kepada mahasiswa akibat harga yuran yang terlalu mahal dan lebih membebankan lagi dengan kehidupan di bandaraya Kuala Lumpur yang memerlukan kos sara hidup yang sangat tinggi. Sebagai mahasiswa yang belum bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya dengan wang pinjaman atau biasiswa semestinya menyukarkan lagi kehidupan selaku penuntut di manara gading sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan secara holistik serta bijaksana.

Justeru itu kami pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Sesi 2009/2010 (MPMUM) selaku suara kepada kebajikan mahasiswa seluruh kampus ingin menuntut agar pengurangan harga yuran kolej-kolej kediaman dapat dipertimbangkan seterusnya diluluskan sesuai dengan kemampuan mahasiswa. Pada masa kini, harga yuran yang dikenakan kepada penghuni kolej iaitu bagi Kolej Kediaman yang memiliki dewan makan sebanyak RM10.00 sehari manakala Kolej Kediaman yang tidak memiliki dewan makan dikenakan bayaran yuran sebanyak RM6.50 sehari.

Jika diimbas kembali sejarah harga yuran kolej kediaman, pada tahun 1980 harga yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM6.50 (terdapat hanya enam buah kolej kediaman), seterusnya pada tahun 1987 harga yuran dinaikkan kepada RM8.00 sehari. Akabat kesan kerugian perbelanjaan kolej pada tahun 1996, pihak universiti telah menaikkan lagi kadar yuran pada tahun 1998 menjadi jumlahnya sebanyak RM10.00.

Oleh itu pihak kami berbesar hati agar kadar yuran kolej kediaman pada masa kini dapat dikurangkan serendah-rendahnya pada kadar RM4.50 sehari setelah mengambil kira beberapa faktor sampingan serta anggaran perbelanjaan kolej kediaman dalam tempoh setahun. Dalam memorandum ini juga, kami akan lampirkan anggaran perbelanjaan kasar kolej kediaman setahun serta perbandingan harga yuran asrama bagi universiti-universiti tempatan yang lain. Pihak kami akan cuba meyakinkan pada pihak YBhg. Dato’ bahawa cadangan penurunan harga yuran ini adalah tepat pada masanya dan relevan untuk digunapakai sepenuhnya pada masa hadapan.

JUSTIFIKASI

  1. Berdasarkan kepada anggaran perbelanjaan kolej kediaman setahun seperti di lampiran di bawah, pada kadar RM4.50 sehari adalah munasabah dan masih mencukupi untun menanggung segala kos yang digunakan oleh pentadbiran kolej kediaman. Anggaran pendapatan sesebuah kolej kediaman ialah sebanyak RM830,000.00 manakala pendapatan kolej daripada bayaran 700 orang penghuni adalah sebanyak RM756,000.00 setahun. Jumlah kos tambahan yang diperlukan lagi sekurang-kurangnya RM74,000.00 tetapi ini dapat di atasi sekiranya bayaran bil eletrik yang ditanggung sepenuhnya oleh kolej kediaman kini disubsidikan oleh pihak universiti sebagaimana yang dilakukan oleh universiti-universiti tempatan yang lain. Sekiranya RM4.50 ini relevan dan digunapakai oleh Kolej Kediaman, jumlah yang perlu dibayar oleh mahasiswa hanyalah sebanyak RM4.50 x 30 hari x 4 bulan = RM540.00 sahaja. Jika dinilai semula dengan kos perbelanjaan ini, mungkin kadar ini juga dapat dikurangkan lebih daripada itu dan tidak mustahil boleh pada kadar serendah RM3.50.
  2. Kami telah membuat perbandingan di antara yuran kolej kediaman dari semua IPTA di seluruh Malaysia dengan harga yuran di Universiti Malaya. Dari penelitian kami, harga yuran di Universiti Malaya adalah yang tertinggi. Disini menimbulkan ketidakadilan terhadap mahasiswa dan apa yang mengecewakan lagi, kemudahan di asrama-asrama di universiti lain adalah sama atau lebih baik daripada perkhidmatan yang terdapat di Kolej Kediaman kini.
  3. Pengurangan harga yuran ini juga sememangnya dapat mengurangkan bebanan seluruh mahasiswa yang menginap di Kolej Kediaman ia selari dengan prinsip Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapian Diutamakan. Selain itu, ini memberikan gambaran bahawa kesungguhan universiti dalam memberikan penumpuan kepada aspek kebajikan mahasiswa, sementara di pihak kerajaan pula di lihat dapat memperkasakan lagi institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan kemudahan yang komprehensif.

CADANGAN

Dalam proses pengurangan harga yuran ini, kami melihat beberapa perkara yang dapat merealisasikan hasrat ini. Berikut adalah beberapa cadangan sebagai langkah untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh pihak kolej serta penambahbaikan pada masa depan :

  1. Kami mencadangkan agar pembayaran elektrik yang ditangung oleh pihak Kolej Kediaman sebelum ini di tanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
  2. Mencadangkan agar dewan makan di setiap Kolej Kediaman ditutup sepenuhnya. Dalam hal ini, pihak Kolej Kediaman pula perlulah mengambil inisiatif untuk menyediakan ruang dapur kecil sekurang-kurangnya di setiap aras bagi semua blok dan menempatkan peralatan kemudahan seperti mini periuk nasi, pemanas air dan seumpamanya. Kebanyakkan universiti yang baru, kemudahan asrama yang dimilikinya menyediakan penginapan berkonsepkan rumah apartment yang mempunyai 3 hingga 5 bilik serta mini ruang dapur.
  3. Memusatkan aktiviti-aktiviti pelajar bagi mengurangkan perbelanjaan Kolej Kediaman sebagai contoh Program Opkim Perdana, Dalam masa yang sama, yuran kegiatan pelajar yang dibayar sebanyak RM50.00 setiap semester hanya perlu dibayar sekali setahun iaitu hanya perlu dibayar pada samester pertama sahaja.
  4. Menempatkan lebih ramai staf kolej yang dibawa masuk melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengurangkan kos pembayaran pekerja di Kolej Kediaman.

PENUTUP

Kami daripada pihak MPMUM sangat berbesar hati sekiranya cadangan kami ini dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya. Masalah yuran ini diharapkan dapat diselesaikan dengan jayanya demi menjaga kebajikan seluruh mahasiswa di Universiti Malaya.

Di samping itu juga, pihak kami berharap dengan pengurangan kadar yuran kolej kediaman tidak lagi ada di kalangan mahasiswa yang terpaksa berkerja sambilan semata-mata ingin mencari wang saku tambahan bagi tempoh pengajian mereka. Hal ini kerana masih ramai lagi mahasiswa yang mempunyai latarbelakang kehidupan dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kami sendiri pernah mendapat berita di kalangan mahasiswa yang menggunakan wang pinjaman mereka untuk diberikan kepada keluarga di kampong.

Masalah ini juga pernah dipersoalkan serta dibangkitkan oleh barisan pimpinan MPMUM yang lepas dan pada sesi kali ini sekali lagi ianya disuarakan oleh pihak kami dengan harapan sinar kemenangan berpihak kepada mahasiswa. Tanpa sokongan YBhg. Dato’ dan juga semua pihak berkaitan, kami pasti ianya hanya perjuang omong-omong kosong malah tidak akan dapat diselesaikan dengan segera. Akhir kata, kami daripada mahasiswa Universiti Malaya menuntut sekali lagi agar dapat mengurangkan kadar yuran kolej kediaman serendah RM4.50 dan lebih daripada itu.

Disediakan oleh,

MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA SESI 2009/2010

TAHNIAH KEPADA BELIAU

DI ATAS PENGANUGERAHAN PROFESOR ULUNG.

Info : Beliau merupakan Prof. Kanan Patologi Fakulti Perubatan UM.


KERTAS KERJA CADANGAN PENUBUHAN

UNIT PENGINAPAN PELAJAR LUAR KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Pendahuluan :

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) memandang serius terhadap kebajikan mahasiswa terutama bagi mereka yang tinggal di luar kampus. Hal ini kerana mahasiswa luar kampus merupakan sebahagian daripada warga kampus yang terdedah dengan pelbagai masalah-masalah seperti keselamatan, sosial dan kebajikan. Justeru itu, cadangan penubuhan Unit Penginapan Pelajar Luar Kampus adalah tepat pada masanya dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak pentabdiran universiti bagi merealisasikan hasrat murni ini.


Justifikasi penubuhan :


  • Lebih daripada 70% respondan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pihak HEPA baru-baru ini mengharapkan penubuhan unit ini.
  • Terdapat universiti tempatan seperti UiTM dan UPSI telah berjaya menguruskan pelajar luar kampus di kampus masing-masing kerana tertubuhnya unit ini. Sebagai contoh, UiTM telah berjaya mendapatkan maklumat pelajar luar kampus mereka sebanyak 23 ribu setakat ini sejak penubuhannya beberapa tahun lepas dan ini menunjukkan hasil kerja yang dinamik.
  • Masih belum wujud PTj yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan hal-hal berkaitan pelajar luar kampus.

Objektif :

Menubuhkan sebuah pusat pentadbiran yang menyelia dan menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajar luar kampus secara proaktif, mesra dan konsisten.

Fungsi :

Menyediakan khidmat secara menyeluruh kepada pelajar luar kampus, menjaga kebajikan mereka serta merancang aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar luar kampus.

Perkhidmatan :

  • Menyediakan jaringan portal direktori sewa sama ada premis kediaman atau bilik untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat rumah sewa.
  • Menyediakan garispanduan penyewaan dan panduan kesedaran awam untuk pelajar luar kampus. Ini adalah termasuklah memberi khidmat nasihat dalam penyewaan rumah seperti lokasi rumah, kadar sewa, kontrak/perjanjian sewaan serta cara-cara memilih rumah sewa.
  • Menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat dengan melibatkan pelajar luar kampus.
  • Menyelaras permohonan pelajar luar kampus mendapatkan tempat tinggal di kolej kediaman jika ada kekososngan bagi mereka yang LAYAK sahaja.
  • Membantu pelajar sekiranya berlaku kes-kes kecemasan seperti kemalangan, kecurian, jenayah (sivil/syariah), masalah kesihatan dan pemberian insentif kepada pelajar yang layak.
  • Pantauan berkala pihak pentadbiran ke rumah-rumah sewa pelajar luar kampus demi memastikan kesejahteraan pelajar.
  • Mengatur perbincangan selaku wakil pelajar bersama-sama jawatankuasa penduduk tempatan atau pihak berkuasa dalam hal-hal berkaitan.
  • Mengadakan kempen untuk mempromosikan keahlian PUSPITA (persatuan pelajar luar kampus UM) di samping mendapatkan maklumat terkini atau sebarang permasalahan di kalangan pelajar luar kampus.

Carta Organisasi :

Sebagai permulaan penubuhan unit ini, carta organisasi perlulah kukuh dan mampu menjalankan tugas ini dengan sebaik mungkin. Cadangan organisasi dalam unit ini adalah sekurang-kurangnya 1 pengetua, 2 penyelia (jika perlu) dan 3 kakitangan sokongan. Ketiga-tiga kakitangan sokongan yang akan tertumpu di pejabat unit tersebut perlulah dibahagikan skop kerja yang lebih jelas dan sistematik dimana ianya perlulah merangkumi :

  • Pengumpul data-data maklumat terkini pelajar luar kampus. Ini juga termasuklah membuat hebahan ke dalam portal pelajar termasuklah iklan-iklan penyewaan dan informasi baru.
  • Menguruskan urusan surat-menyurat dan laporan semasa meliputi laporan-laporan kecemasan dan aktiviti pelajar.
  • Menyusun jadual perancangan aktiviti-aktivti yang melibatkan pelajar seperti program pembangunan sahsiah diri, sesi dialog, seminar dan mesyuarat-mesyuarat mengikut keperluan.
  • Menerima sebarang aduan daripada pelajar dengan menyediakan ruang kaunter khidmat pelanggan tanpa mengira latarbelakang pelajar.

Lokasi pejabat :

Adalah semestinya lokasi yang strategik menjadikan fungsi unit ini lebih berkesan dan memberi impak kepada pelajar luar kampus. Dalam hal ini, lokasi yang dipilih perlulah mudah untuk dikunjungi bagi sebarang urusan, boleh digunakan bagi tujuan perbincangan atau mesyuarat dan boleh menjadi tumpuan oleh semua pihak.

Saya mencadangkan agar lokasinya berada di dalam kampus kerana ianya pusat pengumpulan pelajar terutamanya pada lima hari kuliah. Kawasan kampus yang sesuai bagi lokasi unit ini adalah seperti di Kompleks Perdanasiswa atau mana-mana ruang sementara di dalam kampus termasuklah rumah kuarters staf yang terbengkalai. Rumah PUSPITA yang sedia ada kini dilihat bukan menjadi lokasi yang strategik bagi unit ini kerana lokasinya yang tersorok dan kekurangan kemudahan pengangkutan yang disediakan untuk ke sana.

Jika ianya ditubuhkan di kawasan penempatan pelajar yang dominan, saya merasakan ianya juga memberi kesan sampingan kepada pelajar di kawasan yang minoriti lebih-lebih lagi apabila ianya jauh dari kawasan tersebut.

Kesimpulan :

Unit Penginapan Pelajar Luar Kampus UM adalah sebuah PTj baru yang mampu untuk menguruskan pelajar luar kampus dengan lebih efektif. Unit ini bukan sahaja memudahkan semua pihak tetapi juga sebagai platform dalam membantu mendekatkan pelajar dengan pihak pentadbiran khususnya bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA).

Disediakan oleh,

KHAIRUL ANUAR ABU KASIM

YDP MPMUM 2009/2010


Pada 30 Novermber yang lalu, kita telah dikejutkan dengan berita kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan. Menerusi Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar dalam subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

Cadangan kerajaan ini bukanlah satu isu yang baru diperkatakan dan ianya timbul berpunca daripada senario gejala sosial di kalangan rakyat Malaysia yang semakin meruncingkan seperti pembuangan bayi, rogol, budaya seks bebas serta kes-kes perlakuan seks yang mengaibkan. Walaupun begitu, cadangan bagi membendung masalah ini bukanlah satu mekanisma yang pada umumnya sesuai untuk diimplimentasikan khususnya kepada golongan sasaran yang diibaratkan baru setahun jagung.

Pada pendirian mahasiswa, dasar baru pendidikan seks bagi murid-murid tahun satu sesi depan perlu disemak dan diteliti semula dengan lebih telus. Hal ini kerana pada usia seawal tujuh tahun, murid-murid ini sepatutnya diberikan pendidikan yang lebih asas dalam membentuk jati diri pada masa hadapan. Aspek akhlak, moral, pendidikan agama dan nilai-nilai pekerti serta semangatkan cinta negara perlu diperkasakan melalui pendidikan yang mapan lagi berkesan. Sekiranya minda mereka didedahkan dengan seks semata-mata, sudah pasti itu juga yang akan membina pemikiran mereka ke arah sedemikian.

Dalam pada itu, sepatutnya kita perlu melihat kepada beberapa faktor lain dalam memastikan murid-murid ini bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga maju dalam pembangunan sahsiah diri. Pada pandangan saya, media masa sangat berpengaruh dalam menyebarkan unsur-unsur seks kepada minda anak-anak kita. Jika dilihat kini, media masa sering menyajikan rancangan yang boleh menggalakkan budaya negatif ke dalam minda masyarakat. Lihat sahaja iklan-iklan di televisyen, tidak kira berbayar atau tidak, ada sahaja aksi-aksi yang membuka ruang kepada penularan unsur-unsur seks dengan pakaian yang menjolok mata serta menghairahkan. Ini tidak termasuk lagi dengan penggunaan internet yang meluas kini di dalam negara. Kesemua ini merupakan pengaruh yang paling mudah menyerap masuk ke minda anak-anak kecil ini.

Selain itu, saya juga berpendapat institusi keluarga sangat memainkan peranan penting dalam menjadikan masyarakat kita yang harmoni. Ibu bapa dan adik-beradik memainkan peranan penting dalam membantu setiap satu sama lain kerana merekalah individu yang paling rapat dengan generasi kanak-kanak. Aspek kawalan dan pemantauan perlulah diberikan sepenuhnya tanpa mengira kesibukan harian mahupun kerjaya. Sebenarnya, hidup kita lebih banyak dihabiskan masa di rumah jika dibandingkan dengan kehidupan di luar termasuklah sekolah. Ahli psikologi berpendapat bahawa dalam pembentukan diri sesorang, institusi keluarga merupakan tulang belakang yang menentukan baik atau buruknya individu itu. Sesungguhnya, anak-anak ibarat kain putih lagi bersih yang akan dicorakkan mengikut acuan kita sendiri.

Cadangan saya kepada kerajaan agar pendidikan seks ini bukanlah dijadikan satu mata pelajaran, sebaliknya diselitkan dan diperkasakan dalam matapelajaran moral misalnya sebagai salah satu topik. Selain itu juga, penggunaan nama mata pelajaran dan sukatannya perlulah dirangka dengan sebaik yang mungkin agar matlamat pendidikan ini berjaya dicapai dan diterima oleh kanak-kanak di sekolah. Pihak kerajaan juga perlulah memberi maklumat yang lebih jelas sukatan dan cara pendedahan yang akan dibuat kepada kanak-kanak ini kepada masyarakat agar ianya tidak lagi diragui atau disalah ertikan. Dalam tranformasi pendidikan negara juga perlulah diwujudkan satu indikator yang boleh mengukur keberhasilan pendidikan yang baru ini bagi memastikan ianya relevan dan berjaya dilaksanakan.

Pendidikan seks jika dilaksanakan akan menambahkan lagi kerisauan kita terhadap gejala sosial. Walaupun murid-murid di tahun satu dianggap masih mentah, pada zaman sekarang ini sudah timbul perasaan ingin tahu seterusnya mencuba melakukan apa yang boleh menarik hati mereka. Jika mereka terdedah dengan aksi gusti di layar skrin televisyen, mereka juga akan ingin melakukannya tidak kira di mana-mana sekalipun. Begitu juga kebimbangan kita sekiranya pendidikan seks ini dijalankan, dikhuatiri kelak nanti juga berlaku perkara yang sama bahkan tidak mustahil ianya berlaku di dalam kawasan sekolah. Apabila ditanya kepada guru-guru di sekolah yang mengakui bahawa murid-murid tahap satu misalnya sudah kenal dengan istilah-istilah lucah akibat pengruh persekitan dan ini menunjukkan bahawa sekiranya pendidikan seks ini diajar, ianya seakan-akan menambahkan lagi kesan kepada persekitaran yang kurang baik di sekolah.

Kesimpulannya, mencegah adalah ubat yang terbaik daripada merawati. Aspek pendidikan sangat penting dan ianya bukan hanya diletakkan di bahu pentadbiran sekolah semata-mata malah dimainkan oleh semua pihak dalam memastikan anak-anak bangsa kita terus maju ke hadapan. Cabaran dunia kini menuntut kita untuk bersedia menentukan corak pendekatan yang benar-benar efektif dan relevan. Anak-anak kita adalah aset penting dan peneraju negara pada masa hadapan.

KHAIRUL ANUAR ABU KASIM

YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA

UNIVERSITI MALAYA 2009/2010

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10