Selamat Datang


Pada 30 Novermber yang lalu, kita telah dikejutkan dengan berita kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan. Menerusi Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar dalam subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

Cadangan kerajaan ini bukanlah satu isu yang baru diperkatakan dan ianya timbul berpunca daripada senario gejala sosial di kalangan rakyat Malaysia yang semakin meruncingkan seperti pembuangan bayi, rogol, budaya seks bebas serta kes-kes perlakuan seks yang mengaibkan. Walaupun begitu, cadangan bagi membendung masalah ini bukanlah satu mekanisma yang pada umumnya sesuai untuk diimplimentasikan khususnya kepada golongan sasaran yang diibaratkan baru setahun jagung.

Pada pendirian mahasiswa, dasar baru pendidikan seks bagi murid-murid tahun satu sesi depan perlu disemak dan diteliti semula dengan lebih telus. Hal ini kerana pada usia seawal tujuh tahun, murid-murid ini sepatutnya diberikan pendidikan yang lebih asas dalam membentuk jati diri pada masa hadapan. Aspek akhlak, moral, pendidikan agama dan nilai-nilai pekerti serta semangatkan cinta negara perlu diperkasakan melalui pendidikan yang mapan lagi berkesan. Sekiranya minda mereka didedahkan dengan seks semata-mata, sudah pasti itu juga yang akan membina pemikiran mereka ke arah sedemikian.

Dalam pada itu, sepatutnya kita perlu melihat kepada beberapa faktor lain dalam memastikan murid-murid ini bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga maju dalam pembangunan sahsiah diri. Pada pandangan saya, media masa sangat berpengaruh dalam menyebarkan unsur-unsur seks kepada minda anak-anak kita. Jika dilihat kini, media masa sering menyajikan rancangan yang boleh menggalakkan budaya negatif ke dalam minda masyarakat. Lihat sahaja iklan-iklan di televisyen, tidak kira berbayar atau tidak, ada sahaja aksi-aksi yang membuka ruang kepada penularan unsur-unsur seks dengan pakaian yang menjolok mata serta menghairahkan. Ini tidak termasuk lagi dengan penggunaan internet yang meluas kini di dalam negara. Kesemua ini merupakan pengaruh yang paling mudah menyerap masuk ke minda anak-anak kecil ini.

Selain itu, saya juga berpendapat institusi keluarga sangat memainkan peranan penting dalam menjadikan masyarakat kita yang harmoni. Ibu bapa dan adik-beradik memainkan peranan penting dalam membantu setiap satu sama lain kerana merekalah individu yang paling rapat dengan generasi kanak-kanak. Aspek kawalan dan pemantauan perlulah diberikan sepenuhnya tanpa mengira kesibukan harian mahupun kerjaya. Sebenarnya, hidup kita lebih banyak dihabiskan masa di rumah jika dibandingkan dengan kehidupan di luar termasuklah sekolah. Ahli psikologi berpendapat bahawa dalam pembentukan diri sesorang, institusi keluarga merupakan tulang belakang yang menentukan baik atau buruknya individu itu. Sesungguhnya, anak-anak ibarat kain putih lagi bersih yang akan dicorakkan mengikut acuan kita sendiri.

Cadangan saya kepada kerajaan agar pendidikan seks ini bukanlah dijadikan satu mata pelajaran, sebaliknya diselitkan dan diperkasakan dalam matapelajaran moral misalnya sebagai salah satu topik. Selain itu juga, penggunaan nama mata pelajaran dan sukatannya perlulah dirangka dengan sebaik yang mungkin agar matlamat pendidikan ini berjaya dicapai dan diterima oleh kanak-kanak di sekolah. Pihak kerajaan juga perlulah memberi maklumat yang lebih jelas sukatan dan cara pendedahan yang akan dibuat kepada kanak-kanak ini kepada masyarakat agar ianya tidak lagi diragui atau disalah ertikan. Dalam tranformasi pendidikan negara juga perlulah diwujudkan satu indikator yang boleh mengukur keberhasilan pendidikan yang baru ini bagi memastikan ianya relevan dan berjaya dilaksanakan.

Pendidikan seks jika dilaksanakan akan menambahkan lagi kerisauan kita terhadap gejala sosial. Walaupun murid-murid di tahun satu dianggap masih mentah, pada zaman sekarang ini sudah timbul perasaan ingin tahu seterusnya mencuba melakukan apa yang boleh menarik hati mereka. Jika mereka terdedah dengan aksi gusti di layar skrin televisyen, mereka juga akan ingin melakukannya tidak kira di mana-mana sekalipun. Begitu juga kebimbangan kita sekiranya pendidikan seks ini dijalankan, dikhuatiri kelak nanti juga berlaku perkara yang sama bahkan tidak mustahil ianya berlaku di dalam kawasan sekolah. Apabila ditanya kepada guru-guru di sekolah yang mengakui bahawa murid-murid tahap satu misalnya sudah kenal dengan istilah-istilah lucah akibat pengruh persekitan dan ini menunjukkan bahawa sekiranya pendidikan seks ini diajar, ianya seakan-akan menambahkan lagi kesan kepada persekitaran yang kurang baik di sekolah.

Kesimpulannya, mencegah adalah ubat yang terbaik daripada merawati. Aspek pendidikan sangat penting dan ianya bukan hanya diletakkan di bahu pentadbiran sekolah semata-mata malah dimainkan oleh semua pihak dalam memastikan anak-anak bangsa kita terus maju ke hadapan. Cabaran dunia kini menuntut kita untuk bersedia menentukan corak pendekatan yang benar-benar efektif dan relevan. Anak-anak kita adalah aset penting dan peneraju negara pada masa hadapan.

KHAIRUL ANUAR ABU KASIM

YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA

UNIVERSITI MALAYA 2009/2010

Comment

THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10