Selamat Datang



Pada 15 Mei yang lepas, 10 ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya telah menghadiri satu Konvensyen Hari Belia Negara 2010 anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Hj. Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Di dalam ucapan beliau, peranan mahasiswa telah ditekankan di mana beliau mengingatkan setiap mahasiswa perlulah menggunakan setiap peluang yang telah diberikan oleh pihak kerajaan dengan sebaiknya. Selain itu, beliau turut tidak menafikan bahawa pembangunan mahasiswa perlulah diseimbangkan dari segi jasmani mahupun rohani.

Pada konvensyen tersebut, Kertas Kerja - Akta Pembangunan Belia 2007 telah dibentang oleh Penolong Pendaftar Pertubuhan Belia. Antara kandungan akta yang telah diperbincangkan termasuklah definisi belia, apakah yang dimaksudkan dengan pertubuhan belia, aktiviti-aktiviti belia dan peranan belia. Terdapat beberapa persoalan yang timbul di dalam konvensyen tersebut yang telah diajukan oleh pemimpin-pemimpin pelajar seperti menggesa satu kajian semula tentang takrifan belia secara lebih relevan, mengesyorkan agar bilangan pertubuhan belia dihadkan agar kualiti lebih diutamakan berbanding kuantiti serta kerajaan perlu menyekat penularan budaya-budaya negatif yang wujud di negara melalui kuasa yang mereka ada.

Pada majlis tersebut juga, peserta-peserta yang terdiri daripada semua IPTA mahupun IPTS telah berpeluang untuk berinteraksi dengan penerima anugerah Tokoh Jasa Belia Negara 2010, Datuk Suhaimi Ibrahim. Beliau berkata setiap belia terutama di peringkat pemimpin universiti perlulah membawa sesuatu isu kebajikan pelajar secara berterusan. Beliau yang juga merupakan bekas pelajar lepasan Universiti Malaya mengimbau saat ketika berjuang untuk pelajar-pelajar suatu ketika dahulu. Harapan beliau, pemuda pemudi negara hari ini perlu bersemangat untuk memberi sesuatu sumbangan negara seperti kata Imam Al-Ghazali 'jika ingin melihat jatuh bangun negara itu, lihatlah pada generasi belianya sekarang'

Kesimpulannya,
belia mencerminkan masa depan negara. Jika mereka ada kekuatan daya fikir dan kreatif, selain memiliki daya tahan dan fizikal hebat, maka masa depan negara lebih kukuh, dinamik serta dihormati. Ia sangat bertepatan dengan tema sambutan kali ini: ‘Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara’. Belia tonggak dan pemacu Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul mencapai wawasan status negara maju menjelang 2020. Namun, wawasan itu gagal dicapai jika belia masih bersikap negatif termasuk tidak berminat menuntut ilmu, lesu, lalai, lemah pegangan agama dan tidak ambil tahu hal politik negara. Sebaliknya, mereka lebih cenderung hal yang tidak bermoral dan selesa dengan kehidupan sekarang.

Comment

THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10