Hari ini dunia islam digegarkan lagi satu insiden malapetaka kepada bumi Palestin. Tentera rejim Israel sekali lagi telah melakukan kezaliman yang terang-terangan di mana mereka menyerang satu daripada enam kapal dalam armada kapal kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Kapal itu telah membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.
Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki yang mengetuai armada kapal kecil awal pagi ini. Menurut laporan Malaysiakini, dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel. Mereka adalah sebahagian daripada sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia iaitu NGO Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).
Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.
Kami di BARISAN MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA INGIN MENYATAKAN PENDIRIAN MAHASISWA UM MENGUTUK DAN MENGECAM SERANGAN TENTERA REJIM ZIONIS KEPADA MISI KEMANUSIAAN YANG TIDAK BERDOSA ITU. Dalam hal ini, beberapa NGO akan berhimpun di hadapan kedutaan Amerika (depan Tabung Haji, jalan Tun Razak) pada besok hari jam 11 pagi sebagai tanda bantahan terhadap kezaliman rejim zionis dalam serangan tersebut.
Sementara itu, MPMUM mengingatkan selaku mahasiswa dan mahasiswi di menara gading, tindakan kita untuk berjuang di bumi palestin adalah agak sukar. Tetapi, apa yang sewajarnya mahasiswa dan mahasiswi lakukan ialah menggarap semaksima kepakaran dan pengetahuan untuk memonopoli sektor-sektor yang kini di dominasi oleh golongan Israel ini. Dalam masa yang sama, bekalan doa untuk kesejahterahan umat Islam di bumi Palestin khasnya mahupun di mana-mana sekalipun perlulah diteruskan dengan konsisten.
Comment
THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST