Selamat Datang


Pada 4 hingga 6 Ogos yang lalu, satu mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah di adakan di Esset Bangi. MPPK merupakan majlis yang dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia semenjak daripada Tun Abdullah Badawi sehinggalah kini dibawah YAB. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin B. Mohd. Yassin. Penubuhan majlis ini merupakan salah satu medium yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk mendengar suara-suara mahasiswa di samping membentuk satu polisi atau tindakan melalui keputusan yang dibuat ketika mesyuarat diadakan.

Ketika MPPK, semua pemimpin-pemimpin mahasiswa telah diberi peluang untuk mengajukan persoalan-persoalan sama ada di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi, PTPTN, Akreditasi Institusi Pengajian, sistem perundangan di universiti serta bersemuka dengan barisan Menteri Kabinet bagi mendapatkan penjelasan mahupun pandangan. Pelbagai isu yang telah dibincangkan meliputi agenda pendidikan IPT termasuklah isu terbaru mahasiswa boleh berpolitik, masalah PTPTN ynag sering menghantu penuntut di menara gading, pelan tindakan pendidikan negara, relevansi AUKU dan akta-akta lain serta masalah-masalah kebajikan di universiti-universiti tempatan.

Pada majlis tersebut juga, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) telah dipilih untuk membentangkan satu kertas kerja ketika mesyuarat MPPK bil. 1/2010 yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri. Dengan tajuk kertas kerja "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar, Outbound & Inbound", kami di barisan MPMUM merasakan program ini perlu diselaraskan dan diperkasakan dengan bantuan menglibatkan bantuan daripada kerajaan khususnya, universiti serta mahasiswa sendiri. Untuk makluman semua, sebelum daripada ini, pihak KPT telah memberi kuasa autonomi kepada universiti untuk menjalankan program ini dengan mencari dana yang khusus bagi menampung perbelanjaan program ini di IPT masing-masing. Akan tetapi, kami melihat ianya sangat penting dan perlu diteliti semula agar penyelarasan dan penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan pengantarabangsaan sangat penting di waktu ini. Graduan tempatan bukan hanya sahaja perlu bersifat 'tempatan' sahaja, tetapi juga mempunyai satu semangat untuk dikomersialkan dan juga beridentitikan 'glokal' agar mampu bersaing dengan graduan antarabangsa.

MPPK merupakan mesyuarat yang sangat penting tika mana ianya membincangkan isu-isu semasa. Ketika mesyuarat ini berlangsung, terdapat 5 universiti terpilih selain daripada UM iaitu termasuklan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan juga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menurut YAB Tan Sri, mahasiswa kini telah wujud satu gelombang baru iaitu mereka sedar dengan isu-isu semasa dan bersedia untuk menanganinya dengan mengunakan kepakaran serta intelektual mereka sendiri. Ini satu perkara yang membanggakan.

MPPK telah berjaya menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa di universiti tempatan. Antaranya ketika sesi yang lepas juga, MPMUM telah berjaya menubuhkan Majlis Mahasiswi Nasional (MASISNA) yang telah berjaya digerakkan semenjak tahun yang lalu, kad diskaun pelajar untuk kereta api, PTPTN pengurangan bonus 3% kepada 1% dan banyak lagi isu-isu dibincangkan untuk kebajikan mahasiswa universiti tempatan.

Comment

THERE ARE 0 COMMENTS FOR THIS POST

BORANG ADUAN DAN CADANGAN ONLINE MPMUM 09/10